source: mr. google
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Bulan
Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang
kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan,
keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).
Majoriti
ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga
sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad
Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
"Tiada
hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya
memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).
AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia
bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam
Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan
berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta
memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.."
(Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa
: Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi
orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah
hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi
SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini
menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain amalan
seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia
semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat
disukai oleh Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat
dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih
berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria
dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT
ini.
Bertaubatlah
dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara
dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut:
Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) malah ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
Ertinya
: "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada
hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat
At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad
(yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta.
Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu
Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan
lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka
yang berkemampuan.
Bagi
menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk
melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia
berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
Ertinya
: Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk
sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau
kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hambali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun
ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah
meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli
binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a
menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu
masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis
tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
TIDAK DIBENARKAN
juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging
lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedekahkan atas niat
Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya
Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala
Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia
adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,
Syafie, Ahmad dan lain-lain.
Adalah
diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT
semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya
untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
Ertinya
: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai
(keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat
mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya
kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah
kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
No comments:
Post a Comment